Sekolah Kafa Integrasi Al-Khairiah (KAFAI Al Khairiah) di AU3, Medan Sri Keramat di sini memberi cuti kepada dua kelas iaitu Kelas 3 Abu Bakar dan 5 Ali susulan dua muridnya mempunyai kontak rapat melibatkan kes COVID-19 di Restoran Ali Maju Sri Rampai, ibu negara.

Pengurusan KAFAI Al Khairiah memaklumkan, arahan cuti itu bermula dari 17 hingga 24 Ogos ini sebagai usaha pencegahan jangkitan virus berkenaan.

"Dimaklumkan bahawa dua murid dari kelas berkenaan mempunyai kontak rapat dengan individu terlibat dengan kes COVID-19 di restoran itu dan kini sedang menjalani saringan.

KAFAI Al Khariah arah kelas 3 Abu Bakar dan 5 Ali bercuti 8 hari

"Justeru, ibu bapa juga dinasihatkan untuk memantau anak-anak di rumah dan sekiranya bergejala perlu segera ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan lanjut," kata pengurusan sekolah berkenaan menerusi satu surat pemakluman yang ditandatangani Ketua Gurunya, Abdul Rahman Haron.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mengesahkan dua kes jangkitan dalam negara membabitkan pekerja restoran bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seperti yang tular di laman sosial sejak Sabtu.