PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan seorang kakitangan mereka di Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk) disahkan positif COVID-19.

PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan, kakitangan tersebut merupakan seorang pembantu khidmat pelanggan dan ketika ini sedang dirawat di sebuah hospital kerajaan.

Justeru, PLUS telah mengarahkan semua kakitangannya yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit supaya melakukan pemeriksaan dan saringan kesihatan serta dikuarantin.

"Pada masa sama, PLUS memberi jaminan bahawa kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan diadakan di plaza tol yang terbabit.

"Sehubungan itu, Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk) menghala ke Lebuhraya ELITE akan ditutup sementara bermula jam 12.01 tengah malam ini hingga 11:59 malam esok untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan," katanya.

Berikutan itu, pengguna dari Shah Alam, Batu Tiga serta kawasan sekitar yang menghala ke KLIA, Putrajaya dan selatan dinasihatkan supaya memasuki lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Shah Alam atau Seafield sepanjang tempoh penutupan berkenaan.