Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: Kerajaan Selangor batal penganjuran bazar Ramadan

COVID-19: Kerajaan Selangor batal penganjuran bazar Ramadan
Menurut Amirudin, keputusan itu mungkin akan diubah bergantung kepada pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor mengambil keputusan untuk membatalkan kesemua Bazar Ramadan, dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Namun, jelasnya lagi, keputusan itu mungkin akan diubah bergantung kepada pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kerajaan negeri baru sebentar tadi bermesyuarat (berhubung perkara ini), dan Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan arahan nanti. Kita akan tangguh atau batalkan bazar hingga masa sesuai, dan ini jika kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri kata sudah boleh dilakukan, baru kita buat.

“Tetapi buat waktu ini kita tangguh apa apa pelaksanaan bazar. Dan perkara ini telah dibincangkan atas talian dengan Yang di-Pertua Pihak Berkuasa Tempatan, ada cadangan saya terima daripada mereka,” katanya lagi selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 berjumlah RM272 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata, dalam memastikan penjualan makanan kekal rancak sepanjang bulan Ramadan, kerajaan negeri akan melihat kepada usaha mewujudkan Bazar Ramadan secara dalam talian.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, belum ada sebarang keputusan mengenai penganjuran bazar Ramadan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kementerian beliau telah memberikan masa beberapa hari kepada pihak berkuasa tempatan di Wilayah Persekutuan untuk mereka memberikan cadangan.