Kementerian Luar belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung rakyat Malaysia yang djangkiti atau meninggal dunia akibat COVID-19 di Amerika Syarikat (AS).

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York mengeluarkan kenyataan itu melalui laman Twitter rasmi Wisma Putra, susulan laporan sebuah portal berita tempatan mendakwa terdapat kes kematian sepuluh rakyat Malaysia di New York, pada Khamis.


"Kementerian Luar melalui Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York sentiasa memantau perkembangan wabak ini terutamanya bagi kes-kes yang melibatkan rakyat Malaysia.

"Berdasarkan prosedur pihak berkuasa tempatan, sebarang kematian yang melibatkan warganegara asing akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak kerajaan AS kepada Pejabat Perwakilan Asing di sana, setelah kesahihan sesuatu kes tersebut diperolehi," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Luar menggesa supaya semua rakyat Malaysia di luar negara untuk menghubungi Pejabat Perwakilan Malaysia di negara tempat masing-masing berada sekiranya mempunyai sebarang keraguan.

Sebelum ini, terdapat satu dakwaan oleh Malaysia Association of America (MAA) bahawa terdapat sekurang-kurangnya sepuluh rakyat Malaysia yang telah meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di Bandaraya New York.

Dakwaan itu turut mengatakan terdapat 30 rakyat Malaysia yang menetap di New York telah dijangkiti virus pembunuh tersebut.