Kes jangkitan COVID-19 di negara ini terus menunjukkan perkembangan positif selepas kes baharu COVID-19 kekal satu digit dengan enam kes dikesan pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes baharu di negara ini adalah sebanyak 8,674 kes.

Daripada jumlah kes baharu, jelas beliau, empat kes merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan rakyat Malaysia.

Manakala, dua lagi kes adalah penularan dalam negara, yang juga membabitkan warga tempatan.

Dr Noor Hisham berkata, kes tersebut dikesan hasil saringan di tempat kerja, di mana satu kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu lagi dari Selangor.

"Terdapat lima kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,481 kes (97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 72 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 121 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ia merupakan hari ke-23 berturut-turut Malaysia tidak mencatatkan sebarang kes kematian berkaitan pandemik tersebut.

Setakat ini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana kedua-dua pesakit memerlukan bantuan pernafasan.