Dua puluh kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,877 kes, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kata beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,292 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

"Daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada 5 kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah bukan warganegara dan dua kes adalah di kalangan warganegara Malaysia," katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.

Tambah beliau, 66 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,470 kes (82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

"Bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes baharu yang dilaporkan," kata beliau lagi.

Sehingga kini, seramai enam kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, Malaysia terus mengekalkan rekod kosong kematian baharu COVID-19 dalam masa 11 hari berturut-turut.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," ujar beliau.