Jumlah kes positif COVID-19 di dua kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menunjukkan peningkatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata statistik menyaksikan bilangan kes meningkat di daerah Hulu Langat dan Simpang Renggam.

"Jumlah kes positif di Hulu Langat setakat ini adalah 287. Kampung Sungai Lui terdapat 90 kes dan 25 daripada mereka menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

"Sebanyak 65 kes kontak rapat dan lain-lain. Kes yang bukan di Kampung Sungai Lui ada 197 kes, 21 di antara mereka adalah daripada jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling. Sebanyak 176 adalah kes kontak rapat dengan mereka.

"Jumlah kes positif di Kluang pula adalah 122 kes. Semalam (Rabu), kita laporkan 111 kes. Jadi ada pertambahan 11 kes. Bandar Baru Ibrahim Majid ada 89 kes, iaitu pertambahan satu kes dan lokaliti lain ada 33 kes," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Mengulas berkenaan pematuhan piawai yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Noor Hisham berkata Malaysia telah menjalankan pensampelan yang mencukupi buat masa ini.

"Kalau kita lihat ujian kita, sebanyak 43,406 kes sampel telah kita ambil.

"Kes yang positif adalah 3,116 dan kadar positif kes kita adalah 7.2 peratus iaitu lebih kurang 10 peratus.

"Ini bermakna kita masuk dalam tanda aras WHO, iaitu dengan melaksanakan ujian ini mencukupi untuk komuniti tersebut," katanya.