Kes positif COVID-19 di negara ini kembali kepada dua digit selepas terdapat penambahan 13 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan di negara ini pada Jumaat menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini adalah 8,696 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu lapan kes adalah kes import yang melibatkan enam warga Malaysia dan dua bukan warganegara.

Manakala lima lagi kes yang direkodkan adalah kes tempatan dengan tiga kes adalah warganegara dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara.

“Tiga kes yang direkodkan dalam kalangan warganegara adalah dua kes “Severe Acute Respiratory Infection” (SARI) yang telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan satu kes di Kuala Lumpur iaitu kes saringan sebelum masuk kerja.

“Manakala kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara adalah dua kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, di mana kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran balik ke negara asal,” jelasnya.

Sementara itu, 12 kes dilaporkan pulih pada Khamis, menjadikan jumlah kes pulih adalah 8,511 kes atau bersamaan 97.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Dua kes positif kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada penambahan kes kematian direkodkan, justeru jumlah kematian kekal 121 kes.