Kes positif COVID-19 di negara ini kembali mencatatkan satu angka selepas sembilan kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini adalah 8,840 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes baharu itu, tiga adalah kes import manakala enam lagi kes adalah kes penularan tempatan.

Daripada enam kes tempatan itu, empat kes direkodkan dalam kalangan warga Malaysia dan dua lagi kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut;

- Sabah: Satu kes saringan sebelum dibebaskan dari penjara
- Kelantan: Satu kes saringan tahanan di penjara sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen (DTI)

Manakala kes penularan dalam kalangan warga Malaysia pula adalah seperti berikut;

- Sarawak: Empat kes: Satu kes daripada Kluster Stutong, satu kes daripada Kluster Sentosa, satu kes daripada Kluster Kejuruteraan Kuching dan satu kes masih dalam siasatan. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Manakala tiga kes import melibatkan satu warga Malaysia dan dua bukan warganegara yang mempunyai keluarga yang menetap di Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja.

Sementara itu, 143 kes positif COVID-19 adalah kes aktif dengan kebolehjangkitan yang sudah diasingkan dan diberi rawatan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lapan kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 8,574 kes (97 peratus).

Tiada kematian baharu direkodkan setakat Khamis, jumlah kematian kekal 123 kes (1.39 peratus).