Kes positif yang dilaporkan hari ini kembali pada satu digit selepas terdapat lapan kes lagi yang direkodkan, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,704 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 67 kes.

“Daripada lapan kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia," kata kementerian itu dalam kenyataan yang diedarkan.

Tambah kenyataan itu, daripada empat kes penularan di dalam negara, dua kes adalah dalam kalangan warganegara sementara baki merupakan bukan warganegara Malaysia.

Perincian kes jangkitan tempatan di kalangan warganegara Malaysia (dua kes) adalah seperti berikut:

• Sarawak: Satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. Kes ini juga merupakan kes kematian ke-122 yang dilaporkan hari ini.

• Sabah: Satu kes saringan bagi kes yang dirujuk ke hospital.

Kes jangkitan tempatan di kalangan bukan warganegara Malaysia (dua kes) pula adalah seperti berikut:

• Selangor: Dua kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, di mana kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran pulang ke negara asal.

Dalam pada itu, terdapat tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Setakat ini, jumlah kes kematian meningkat ke-122 (kes ke-8702) selepas satu lagi kematian melibatkan lelaki warganegara, berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

BACA: COVID-19: 1 kes meninggal dunia selepas 26 hari sifar kematian