Satu-satunya kes positif COVID-19 yang direkodkan negara pada Rabu melibatkan seorang warganegara Malaysia berusia 21 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang baru pulang dari Turki itu tidak menunjukkan sebarang gejala ketika diperiksa sebelum ini.

“(Secara keseluruhan) Rakyat malaysia dan pemastautin tetap Malaysia yang pulang dari luar negara dan dikesan positif COVID-19 adalah seramai 626 orang.

“Pada hari ini ada pertambahan satu kes iaitu seorang warganegara yang berumur 21 tahun, tiada gejala, baru pulang dari Turki,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Rabu.

Terdahulu, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, buat kali pertama sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malaysia merekodkan hanya satu kes positif COVID-19.

Berdasarkan statistik sehingga jam 12 tengah hari pada 1 Julai itu, beliau berkata, kes tunggal yang dilaporkan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Menurutnya, angka terbaharu itu sekali gus membawa maksud bahawa buat kali pertama juga tiada kes penularan dalam negara dilaporkan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes dalam semua 17 kluster yang masih aktif di Malaysia.

Tambahnya, ia juga melibatkan tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang tidak merekodkan sebarang pertambahan kes sehingga 1 Julai 2020.

“Dimaklumkan bahawa laporan kluster COVID-19 yang masih aktif di Malaysia sehingga 1 Julai 2020, hari ini tiada pertambahan kes pada semua 17 kluster yang masih aktif yang dipantau,” ujarnya.