Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis memaklumkan satu berita baik di mana dua lagi kes positif COVID-19 daripada sejumlah 22 kes sebelum ini, telah pulih sepenuhnya.

Menerusi satu kenyataan, KKM melaporkan bahawa dua kes tersebut iaitu kes ke-16 dan kes ke-22 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini.

“Kes ke-16 merupakan seorang wanita warganegara China berumur 67 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Manakala kes ke-22 ialah seorang warganegara Amerika Syarikat yang mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh dan ia sekali gus menjadikan jumlah yang kembali pulih sepenuhnya kepada 22 orang," kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, KKM turut melaporkan satu berita yang tidak baik di mana negara telah mencatatkan satu lagi penambahan kes COVID-19.

"Kes baharu telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan."

“Individu merupakan seorang wanita berusia 53 tahun warganegara Malaysia dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun baru-baru ini," menurut kenyataan itu.

Mangsa dimaklumkan telah pulang dari Jepun pada 23 Februari 2020 dan mula mempunyai gejala demam pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, mangsa ke-23 itu telah mendapat rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Setakat ini, seramai 1,569 individu telah diambil sampel bagi pengesanan COVID-19 dan ia termasuk mereka yang menjadi pesakit di bawah pemantauan (PUI), kontak rapat, mereka yang terlibat dengan Misi Bantuan Kemanusian serta kapal persiaran Dream World.

Daripada jumlah ini, sebanyak 23 kes disahkan positif COVID-19, sebanyak 1,523 adalah negatif dan 23 masih menunggu keputusan makmal.

BACA: COVID-19: Enam negara catat kes pertama

BACA: COVID-19: Saudi gantung kemasukan jemaah umrah