Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: Kesihatan wanita warga emas Amerika semakin baik

COVID-19: Kesihatan wanita warga emas Amerika semakin baik
Ujian makmal pengesahan COVID-19 ulangan akan dijalankan ke atas semua kes disahkan positif, setelah pesakit menunjukkan perkembangan yang baik bagi gejala klinikal yang dialaminya. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas Amerika Syarikat berusia 83 tahun yang disahkan positif COVID-19 di negara ini, telah menunjukkan perkembangan status kesihatan yang sangat baik selepas dua ujian pengesahan ulangan jangkitan itu menunjukkan negatif.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, wanita itu masih lagi dipantau di Hospital Sungai Buloh, dekat sini, kerana mengalami sedikit batuk.
Beliau berkata selepas lebih 72 jam diberi rawatan antiviral (liopinavir/ritonavir), keputusan dua ujian pengesahan COVID-19 ulangan terhadap wanita itu menunjukkan keputusan negatif.

"Ujian pengesahan ulangan ini telah dijalankan bagi memastikan kes telah sembuh dan negatif COVID-19," katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, ujian makmal pengesahan COVID-19 ulangan akan dijalankan ke atas semua kes disahkan positif, setelah pesakit menunjukkan perkembangan yang baik bagi gejala klinikal yang dialaminya.

"Hal ini adalah untuk memastikan bahawa kes telah sembuh sepenuhnya dan bebas daripada virus COVID-19. Ini penting bagi memastikan kes selamat untuk dibenarkan pulang dan tidak menjangkiti orang lain," katanya.

Pelancong wanita dari Amerika Syarikat itu merupakan kes 22 dilaporkan di Malaysia selepas mangsa tiba dari Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),14 Feb lalu.

Wanita tersebut dan suaminya merupakan antara 1,455 penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang berlabuh di Kemboja pada 13 Feb lalu sebelum kerajaan negara itu membenarkan mereka pulang ke negara masing-masing selepas saringan kesihatan dijalankan.

Seramai 145 penumpang kapal persiaran itu mengambil penerbangan ke Malaysia pada 14 Feb.

Wanita warga emas itu dan suaminya dikesan bergejala sebaik tiba KLIA dan ujian saringan pengesanan COVID-19 mendapati wanita itu disahkan positif pada 15 Feb manakala suaminya negatif.

[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 China sahkan 397 kes baharu, 109 kematian

Dr Noor Hisham berkata dapatan terkini kajian mendapati hampir 80 peratus pesakit COVID-19 yang dilaporkan, merupakan pesakit yang mengalami gejala ringan dan tiada rawatan spesifik atau antiviral diperlukan bagi penyakit ini.

Beliau berkata kebanyakan pesakit hanya memerlukan rawatan simptomatik, seperti demam, batuk dan selesema, dan isolasi kes perlu dijalankan bagi mengelakkan penularan penyakit ini kepada orang lain.

Hal ini kerana kebanyakan kes yang telah disahkan positif, sistem imun badan manusia akan menghasilkan antibodi spesifik bagi melawan virus ini, katanya.

"Walau bagaimanapun, terdapat juga golongan yang tidak mempunyai sistem imun yang kuat, contohnya warga emas, di mana jangkitan virus COVID-19 ini menyebabkan komplikasi yang teruk dan memerlukan bantuan ubat-ubatan seperti antiviral," katanya.

-- BERNAMA


Tag: wanita warga emas, Amerika Syarikat, positif COVID-19, COVID-19, koronavirus, China, Wuhan, Dr Noor Hisham Abdullah, Hospital Sungai Buloh, KKM, Kementerian Kesihatan Malaysia, antiviral



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.