Kementerian Kesihatan (KKM) mengalu-alukan perkhidmatan sukarelawan kesihatan dan perubatan dalam menangani penularan kejadian COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini, seramai 157 sukarelawan telah menyertai dan ditugaskan sebagai sukarelawan yang ditempatkan secara berperingkat untuk membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19.

“Sejumlah 1,008 orang lagi bakal menyertai pasukan perubatan di hospital, iaitu mereka terdiri daripada pelbagai profesion perubatan.

“Mengambil kira situasi semasa, KKM menyeru lebih ramai sukarelawan dapat tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 dengan mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan Dan Perubatan COVID-19 di laman sesawang Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, proses pengambilan kakitangan tambahan dan sokongan masih lagi diteruskan buat masa ini.

Ditanya berkenaan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) ketika ini, Noor Hisham berkata mereka lebih tertumpu kepada saringan untuk golongan pelarian dan pendatang asing.

“NGO setakat ini yang membantu adalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), Muslim Relief Agency dan MERCY Malaysia.

“Mereka membantu kita dalam memberi perkhidmatan bantuan kepada pelarian Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di mana PATI takut datang ke klinik atau hospital, jadi mereka boleh jalankan saringan dan rawatan di klinik tersebut,” katanya.