Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengumpul data mengenai keberkesanan dan kesan sampingan penggunaan ubat antivirus Remdesivir dalam merawat pesakit COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesan spesifik penggunaan ubat tersebut masih belum dapat dikenal pasti memandangkan hanya sembilan pesakit yang baru menggunakan ubat tersebut di negara ini.

Bagaimanapun, KKM akan memberi maklum balas kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung penggunaan ubat tersebut.

"Ubat ini telahpun kita terima untuk lebih kurang 100 pesakit. Setakat ini kita ada sembilan pesakit yang kita sudah mulakan rawatan ubat ini.

"Jadi sama ada data-data yang kita kutip ini nanti kita akan beri maklum balas kepada WHO, (kerana ia) ada protokolnya. Kita kena isi dan kita kena pantau sama ada kesan samping dan sebagainya, dan maklum kepada WHO.

"Mungkin dari segi sembilan kes kita tak nampak kesannya tetapi kalau 100 pusat kita kumpulkan data-data Itu, baru kita dapat secara spesifik sama ada kesan sampingan dia meningkat ataupun tidak," katanya dalam sidang media harian di sini pada Rabu.

Terdahulu, WHO mengesyorkan agar beberapa ubat termasuk Remdesivir dan terapi plasma tidak digunakan untuk rawatan COVID-19, dalam kempen kaji selidik solidariti mereka.

Difahamkan, Remdesivir yang dihasilkan oleh syarikat biofarmaseutikal AS, Gilead Sciences Inc. kebiasaannya digunakan untuk merawat penyakit Ebola.

Larangan tersebut dibuat ketika kebanyakan negara menggunakan Remdesivir dan terapi plasma sebagai alternatif dalam rawatan COVID-19.