Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu iaitu Kluster PUI Novgorod di Melaka.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, jurucakap KKM berkata, kes pertama kluster itu merupakan seorang warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia dari Rusia pada 5 Julai lalu.

“Keputusan saringan individu itu (kes ke-8,673) di pintu masuk antarabangsa mendapati dia positif dan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-8,718 merupakan rakan kepada kes ke-8,673. Mereka telah menaiki pesawat yang sama, juga pada 5 Julai 2020.

“Keputusan saringan bagi kes ke-8,718 di pintu masuk antarabangsa didapati negatif, namun dia mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai lalu dan saringan ulangan didapati positif COVID-19,” jelas kenyataan tersebut.

Katanya, siasatan dan pengesanan kontak rapat kemudian mendapati terdapat penularan tempatan apabila ahli keluarga kes ke-8,178 diuji positif COVID-19.

“Ketibaan beliau di Malaysia pada 6 Julai 2020 telah disambut oleh ahli keluarga beliau. Seramai empat orang ahli keluarga telah datang bersama-sama dengan menaiki kereta sendiri untuk menjemput beliau di pintu masuk antarabangsa.

“Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes tersebut (iaitu kes ke-8,724) turut dikesan positif COVID-19 selepas beliau mula mengalami gejala demam. Ini menjadikan beliau kes ketiga Kluster PUI Novgorod,” tambah kementerian itu lagi.