Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu pada Selasa iaitu Kluster Bukit Bintang, Tapak Pembinaan Kuching dan Kondominium Hulu Langat.

Berikut adalah perincian yang diberikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah:

1) Kluster Bukit Bintang

- Sehingga jam 12 tengah hari Rabu, sebanyak 10 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam kluster ini yang melibatkan sembilan kes warga Bangladesh dan satu kes warganegara Malaysia.

- Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-8,498 merupakan seorang lelaki warga asing yang telah menjalani saringan COVID-19 untuk masuk kerja dan didapati positif pada 15 Jun 2020.

- Setakat ini, seramai 274 orang telah disaring dengan 203 adalah warga asing dan 71 adalah warganegara Malaysia.

- Tujuh daripada 10 kes positif kluster ini adalah rakan serumah kepada kes indeks.

2) Kluster Tapak Pembinaan Kuching, Sarawak

- Kluster ini mula dikesan apabila kes ketiga kluster ini (iaitu kes ke-8,591) telah membuat saringan COVID-19 di sebuah klinik swasta dan didapati positif COVID-19.

- Dia merupakan ketua penyelia kepada dua orang pekerja warga Indonesia yang telah dikesan positif COVID-19 pada 16 Jun 2020 hasil saringan di tempat kerja.

- Setakat ini seramai 426 kontak telah dikenal pasti dengan seramai 62 orang didapati negatif COVID-19 dan selebihnya (iaitu 364 kontak) masih menunggu keputusan.

3) Kluster Kondominium Hulu Langat

- Kes indeks kluster ini (kes ke-8,368) merupakan seorang pelajar pusat tahfiz yang dikesan positif saringan COVID-19 pada 8 Jun 2020.

- Aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan dan dua lagi kes positif dikesan di dalam kluster ini. Kes pertama merupakan warga asing (kes ke-5,818) namun merupakan bapa saudara angkat kepada kes indeks.

- Salah seorang rakan sekerja kepada kes ke-5,818 turut dikesan positif COVID-19 (iaitu kes ke-5,894).

- Sehingga 24 Jun 2020, seramai 40 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring. Daripada jumlah keseluruhan ini, 26 orang adalah warga asing dan 14 orang adalah warganegara Malaysia.