Satu kluster baharu COVID-19 telah dikenal pasti bertumpu di Mukim Tawar, Kedah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, kes pertama kluster itu (kes 9,113) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang juga seorang peniaga.

Dr Noor Hisham berkata, lelaki berkenaan mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung antara 31 Julai dan 1 Ogos, 2020.

“Pada 8 Ogos 2020, beliau mula mengalami sakit dada serta gejala demam dan telah segera mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan. Saringan COVID-19 dijalankan pada 9 Ogos 2020 dan dikesan positif pada 11 Ogos 2020.

“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 13 Ogos 2020, 86 kontak rapat beliau telah disaring yang termasuk ahli keluarga, kontak rapat di hospital dan lain-lain kontak,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media di sini pada Khamims.

Beliau berkata, daripada jumlah 86 saringan, 9 didapati positif, 21 negatif, manakala baki 56 individu lagi masih menunggu keputusan.

Kesemua kes positif kluster itu, jelas beliau, merupakan ahli keluarga lelaki berkenaan yang turut menghadiri upacara keagamaan berkenaan.

“Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan. Langkah-langkah pencegahan dan pembendungan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di lokasilokasi yang dikenal pasti.

“Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya lagi.