Kementerian Kesihatan komited untuk melaksanakan teknik baharu dalam membuat ujian saringan jangkitan COVID-19 menerusi kaedah mengesan genetik virus atau rRT-PCR COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, teknik berkenaan mampu mengesan jangkitan secara automatik dengan mengguna mesin yang diimport dari China.

Menurut beliau, penggunaan teknik itu juga bukan sahaja cepat, malah mempunyai kapasiti ujian sebanyak 5,000 dalam tempoh sehari.

"Kita sedang melihat teknik baharu dalam membuat ujian saringan jangkitan COVID-19 ini dengan menggunakan mesin yang diimport dari China.

"Proses ini dilihat lebih cepat dan kapasiti ujian mampu mencecah 5,000 dalam masa sehari," katanya dalam sidang media harian di sini pada Ahad.

BACA: COVID-19: Empat lagi kematian, 179 kes baharu dicatat

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pihaknya juga akan menerima kit ujian pantas dari Korea.

"Esok kita akan terima kit ujian pantas baharu dari Korea dan kita harap tahap sensitiiviti dan spesifikasi serta ketepatan melebihi daripada 80 peratus.

"Dengan cari ini kita harap boleh tingkatkan ujian saringan yang dilakukan oleh KKM dalam sesuatu masa," jelas beliau lagi.