Kementerian Kesihatan meminta agar semua pihak untuk mengambil inisiatif dengan melakukan penjarakan sosial bagi mengekang penularan wabak Karonavirus (COVID-19) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, usaha itu merupakan langkah awal yang boleh dilakukan semua pihak bagi mengelak daripada terdedah jangkitan virus berkenaan.

“Rakyat Malaysia yang bergejala dinasihatkan agar melakukan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter apabila berhadapan dengan individu lain.

“Selain itu, semua pihak diingatkan untuk tidak mengunjungi tempat-tempat yang padat dengan orang ramai kerana dikhuatiri mudah terdedah kepada jangkitan COVID-19,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.

BACA: COVID-19: 12 kes baharu dikesan, jumlah terkini 129

Terdahulu beliau yang baharu sahaja mengangkat sumpah sebagai Jemaah Menteri terus melakukan lawatan kerja pertamanya bagi meninjau di Thermal Scanner in Progress di KLIA.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, KKM akan berusaha untuk mengesan lokasi yang menjadi punca penularan wabak berkenaan.

“Kita akan terus mencari kontak-kontak rapat mangsa yang telahpun disahkan positif COVID-19 agar virus ini tidak terus merebak.

“Usaha ini bertujuan untuk kita selamatkam lebih ramai rakyat Malaysia daripada terdedah kepada jangkitan virus,” jelasnya.