Kementerian Kesihatan Malaysia memerlukan sekurang-kurang 10 hari untuk menyaring kesemua penduduk di kawasan yang baru diwartakan di bawah Perintah Kawalan Diperketatkan, iaitu di Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor HIsham Abdullah berkata, pihaknya juga berharap dapat melaksanakan proses nyahkuman dalam tempoh yang dinyatakan.

“Kita menganggarkan (untuk Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion), setiap satu mempunyai 2,500 penduduk, menjadikan anggaran keseluruhan 5,000 penduduk. Kita harap, dengan pengesanan kes secara aktif (ACD), termasuk saringan, kita beri masa 10 hari untuk bersihkan kawasan itu.

“Kita harap dapat menjalankan proses nyahkuman, dalam tempoh tersebut kita akan pertingkatkan usaha ACD di sana,” katanya lagi.

Awal hari ni Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Beliau berkata ,PKPD keempat itu berkuatkuasa hari ini sehingga proses pengesanan wabak berkenaan selesai, susulan 15 kes positif COVID-19 dilaporkan dari kawasan itu.

BACA: Bangunan Selangor Mansion, Bangunan Malayan Mansion laksana PKPD

Ia merupakan PKPD keempat dilaksanakan selepas PKPD Kluang di Johor, PKPD Sungai Lui di Selangor, dan PKPD Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Di PKPD Kluang, Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 11 kes, PKPD Sungai Lui pertambahan 11 kes dan di PKPD Menara City One pertambahan sebanyak enam kes.