Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan pengundi positif COVID-19 atau sedang dikuarantin, mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Julai ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebenaran termasuk bagi pengundi yang bergejala itu, bagaimanapun tertakluk kepada syarat ketat seperti jumlah kes COVID-19 di kawasan berkenaan dan bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital.

“Kita akan lihat daripada senarai kes yang dikuarantin ataupun yang mereka dimasukkan ke wad.

“Tetapi kalau pesakit yang tenat contohnya, mungkin mereka tak dibenarkan keluar dari wad untuk mengundi.

“Apa pun, kita akan adakan SOP yang diteliti oleh pelbagai agensi sebelum kita boleh laksanakan bersama,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kesediaan SPR memberi peluang itu kepada pengundi tertakluk kepada kebenaran KKM.

PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun dan pengundian awal pada 30 Jun.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.