Kementerian Kesihatan mengenal pasti satu kluster baharu di sebuah syarikat kejuruteraan di Kuching.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak dua kes positif COVID-19 dilaporkan dalam kluster tersebut.

“Kes pertama kluster ini (kes ke-8694), adalah seorang pekerja di syarikat tersebut yang telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 9 Julai 2020 apabila beliau mengalami gejala pernafasan.

“Beliau didapati positif COVID-19 pada hari yang sama,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan media yang diedarkan pada Ahad.

Susulan itu, beliau berkata, siasatan dan aktiviti saringan kontak rapat dijalankan dan setakat ini, seramai 32 kontak rapat beliau telah dikenalpasti dan disaring.

Katanya, daripada 32 kontak rapat tersebut, 16 orang merupakan rakan sekerja manakala 16 orang merupakan ahli keluarga.

Berikut adalah keputusan saringan tersebut:
• 1 kes dikesan positif COVID-19
• 16 kes negatif
• 15 masih menunggu keputusan

Tambahnya, langkah pencegahan seperti proses pembersihan serta nyah kuman telah dijalankan di premis syarikat tersebut dan punca jangkitan kluster ini adalah masih di dalam siasatan.

Sebelum itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 14 lagi kes baharu positif yang dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 8,718 kes.