Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: Malaysia catat 4 kematian, 130 kes positif baharu

COVID-19: Malaysia catat 4 kematian, 130 kes positif baharu
DR NOOR HISHAM: Setakat 12 tengah hari Jumaat, terdapat 130 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,161 kes. - gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat empat lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 26 kes.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengah hari Jumaat, terdapat 130 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,161 kes.
“Sehingga kini, seramai 54 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 34 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian di sini, pada Jumaat.

“Kes kematian ke-24 (kes ke-1056) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 35 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 9.30 malam.
“Kes kematian ke-25 (kes ke-2032) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 6.55 petang.

“Kes kematian ke-26 (kes ke-1321), adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes 1309). Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac 2020 pada 10.30 pagi,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau juga memaklumkan bahawa terdapat 44 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada Jumaat.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 259 kes," katanya.


 
Tambahnya, sehingga jam 12 tengah Jumaat, daerah Kluang, Johor melaporkan sebanyak 88 kes positif COVID-19, dengan 74 daripadanya adalah dari Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

“Tujuan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan bagi memutuskan rangkaian jaringan penulasan COVID-19.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) dari rumah ke rumah dilaksanakan, selain aktiviti nyahkuman dijalankan di kawasan berkaitan,” katanya.

Dalam perkembangan lain pula, KKM mensasarkan 300 sampel ujian diambil setiap hari bermula hari ini (Jumaat).

“Persampelan akan diutamakan kepada golongan kontak rapat, individu bergejala, dan golongan atau kumpulan yang berisiko terlebih dahulu. Untuk makluman, kerja pembersihan dan disinfeksi di tempattempat awam akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Daerah Simpang Renggam.

“Kerja pembersihan akan bertumpu di tempat-tempat tumpuan awam. Penerangan juga akan diberi kepada semua penduduk tentang tatacara disinfeksi rumah yang betul.

“Perkhidmatan kesihatan di Klinik Desa Datuk Ibrahim Majid diteruskan seperti biasa manakala perkhidmatan kecemasan akan diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Perubatan Kecemasan (MECC),” ujarnya.