Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan jumlah kes pulih daripada jangkitan COVID-19 paling tinggi setakat ini iaitu sebanyak 91 kes berbanding sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua mereka telah dibenarkan discaj sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya COVID-19 sebanyak 479 kes.

"Kalau kita tengok jumlah hari ini merupakan jumlah terbesar iaitu 91 kes menjadikan kadar discaj terbesar setakat ini iaitu 18.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Jadi kalau dilihat dalam tempoh amalan atau kawalan penyakit berjangkit ialah 14 hari dan mereka mungkin dimasukkan ke wad dalam tempoh tersebut. Apabila ujian dilaksanakan dua kali secara berturut-turut dalam tempoh 24 jam dan didapati negatif, baru kita benarkan mereka balik," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.

Noor Hisham berkata, kesemua mereka yang pulih juga ada dalam kalangan kluster perhimpunan tabligh Masjid Jamek Sri Petaling.