Satu lagi kematian akibat wabak COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia sebanyak 24 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian ke-24 itu merupakan warga negara Malaysia berusia 35 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada awal Mac tahun ini.

“Beliau telah mula bergejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 18 Mac 2020.

"Hasil ujian pengesanan COVID-19 telah didapati positif pada 20 Mac 2020.

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 9.30 malam,” kata Dr Noor Hisham melalui akaun Facebook rasminya hari ini.



Setakat jam 12 tengah hari, 26 Mac 2020, Dr Noor Hisham berkata terdapat 235 kes baharu yang telah dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,031 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, daripada 235 kes tersebut, sebanyak 60 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling, manakala baki 175 kes masih lagi dalam siasatan.

“Sehingga kini, seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi.