Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat empat lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 23 kes.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengah hari Khamis, terdapat 235 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,031 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, berdasarkan siasatan awal, daripada 235 kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 60 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling manakala baki 175 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster.

“Sehingga kini, seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian pada Rabu.

Katanya lagi, kes kematian ke-20, ke-21 dan ke-22 pernah menghadiri ijtimak tabligh.

“Kes kematian ke-20 merupakan kes ke-780, lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun. Beliau merupakan peserta perhimpunan di Sri Petaling dan dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan mulai 18 Mac 2020.

“Kes kematian ke-21 merupakan kes ke-1588, lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun. Beliau juga merupakan peserta perhimpunan di Sri Petaling dan telah dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 23 Mac 2020.

“Kes kematian ke-22 merupakan kes ke-1797, lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau juga telah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling dan juga mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 yang menghadiri perhimpunan yang sama,” katanya.

Beliau juga berkata, kes kematian ke-23 pula merupakan kes ke-1840, lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun daripada Kajang.

“Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak mulai 23 Mac 2020.

“Kes beliau masih dalam siasatan sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster COVID-19,” ujarnya.


Dalam perkembangan yang sama, beliau juga memaklumkan bahawa terdapat 16 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada Khamis.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 215 kes," katanya.

Beliau berkata, setakat 12 tengah hari Khamis, terdapat 80 anggota kesihatan KKM dikesan positif penyakit COVID-19.

Setakat ini, katanya, tiada kes jangkitan anggota kesihatan KKM yang disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 39 anggota adalah dari kejadian kluster di Hospital Teluk Intan, Perak.

“Mengambil kira situasi semasa, KKM telah menetapkan agar semua anggota kesihatan dan anggota sokongan Hospital Teluk Intan untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di hospital tersebut,” tambah beliau lagi.