Malaysia setakat ini kekal menggunakan ubat anti-malaria 'hydroxychloroquine' bagi merawat pesakit COVID-19 walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghentikan sementara ujian klinikal terhadap ubat tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau penggunaan ubat tersebut termasuk kesan sampingan kepada pesakit.

Jelasnya, ubat anti radang tersebut telah digunakan sejak 40 tahun lalu bagi merawat penyakit malaria, dan mengakui ia mempunyai kesan sampingan termasuk pada denyutan jantung, dan mata.

“Ubat tersebut adalah ubat antiradang, jadi kalau kita menggunakan pada peringkat awal, kita dapat mencegah iaitu penyakit melarat kepada peringkat keempat dan kelima dan itu pandangan daripada pakar-pakar kita.

“Tetapi ia ada ada kesan sampingan, jadi kita kena pantau kesan sampingan. Contohnya, QT interval semakin panjang, kita kena hentikan ubat tersebut. Kalau tidak ia akan mengakibatkan jantung berhenti dan sebagainya.

“Kita masih menggunakan secara berhati-hati dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telahpun hentikan seketika dan mereka ingin melihat literature review iaitu sehingga pertengahan Jun – melihat kepada kesan sampingan ubat tersebut,” katanya dalam sidang media, harian di sini pada Selasa.

BACA: COVID-19: Bimbang risiko, WHO gantung penggunaan hydroxychloroquine

Dr Noor Hisham menambah, ubat tersebut telah digunakan sejak dari awal rawatan COVID-19 lagi sebagai kategori 'off label' kepada pesakit tahap satu dan dua.

Katanya, pakar berpandangan ubat tersebut mampu membantutkan penularan jangkitan COVID-19 ke peringkat yang lebih teruk.

Justeru, beliau berkata pakar-pakar perubatan di negara ini sedang melihat kepada data-data berkaitan bagi cadangan penyelidikan terhadap keberkesanan ubat tersebut.

Pada Isnin, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata ujian klinikal terhadap ubat tersebut terpaksa dihentikan seketika selepas sebuah kajian mendakwa penggunaan ubat tersebut boleh meningkatkan risiko kematian.