Malaysia bersedia untuk memasuki fasa 'exit strategy' atau pelan pasca krisis COVID-19 sekiranya kes positif di negara ini kekal satu atau dua angka.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih perlu dikekalkan untuk proses pemantauan dan kawalan COVID-19.

Serentak itu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan agar lebih banyak sektor dibuka pada masa depan, katanya.

"Jadi, pemantauan dan kawalan kita perlukan Akta 342 dan mungkin dengan pelaksanaan untuk kawalan, kita perlukan Akta 342 dan mungkin dengan pelaksanaan ini kita perlu lanjutkan Akta 342 supaya pemantauan dan pengawasan berterusan.

"Apabila semua sektor dibuka dan pemantauan berjalan dengan baik, kita masih kekalkan dua atau satu digit, kita dan bersedia umum 'exit strategy' dan ini kita katakan 'soft landing' iaitu supaya rakyat Malaysia patuh SOP (prosedur operasi standard)," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Noor Hisham memaklumkan kira-kira 800 penghuni di Blok Berkat di Penjara Sungai Buloh bakal menjalani ujian saringan selepas seorang tahanan dikesan positif COVID-19.

Jelas beliau, KKM sedang giat mengesan kontak rapat termasuk membabitkan kakitangan di penjara tersebut.

"Dianggarkan satu blok iaitu blok Berkat lebih kurang satu sel (seramai) lapan hingga 10 banduan. Jadi, kita akan jalankan saringan kontak rapat kepada kes positif dan kakitangan.

"Dianggarkan lebih 800 orang akan disaringkan dan proses aktiviti 'active case detection' dijalankan di Penjara Sungai Buloh," katanya.