Pakar-pakar perubatan daripada 26 buah hospital dikhususkan untuk merawat pesakit COVID1-9 akan mengadakan sidang video dengan pakar-pakar dari China untuk berkongsi kaedah serta strategi terbaik dalam menangani wabak itu.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata persetujuan itu dicapai selepas pihaknya berbincang dengan kerajaan China untuk menghantar pakar khususnya dalam bidang perubatan ke Malaysia.

Menurut Hishammudin, langkah tersebut dilakukan bagi membantu tugas barisan hadapan dalam usaha memerangi COVID-19 habis-habisan.

"Susulan perbincangan ini, saya difahamkan pakar perubatan dari 26 buah hospital di Malaysia akan mengadakan video conference dengan pakar-pakar perubatan yang berada di China pada Khamis ini (26 Mac 2020) bagi berkongsi kaedah serta strategi terbaik dalam melawan COVID-19, " katanya dalam sidang media yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Wisma Putra juga sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan peralatan perubatan daripada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam masa terdekat.

Sebarang perkembangan terbaharu berhubung perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Tambah Hishammuddin, Wisma Putra akan menggunakan saluran diplomatik dan hubungan akrab dengan negara-negara luar bagi mendapatkan bantuan pakar dan peralatan perubatan.

BACA: China komited bantu Malaysia perangi COVID-19 - Bai Tian

Mengulas mengenai proses membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara pula, Hishammuddin berkata setakat ini seramai lebih 1,000 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Uzbekistan, Mesir, Maldives, Nigeria, Thailand, Jepun, Kemboja dan banyak lagi negara telah berjaya pulang ke tanah air.

"Wisma Putra juga setakat pagi ini telah membawa pulang seramai 696 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India termasuk menerusi kerjasama dengan parti Malaysian Indian Congress (MIC) dan Air Asia.

"InsyaAllah, ramai lagi akan dibawa pulang dari India dalam waktu terdekat," katanya lagi.