Malaysia belum mempunyai keupayaan untuk menghasilkan vaksin sendiri dalam usaha mencegah COVID-19, dan ia memerlukan kerjasama daripada negara berpotensi.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika vaksin tersebut sudah dikenal pasti, pembuatannya boleh dijalankan di negara ini.

“Kita mungkin tiada keupayaan setakat ini untuk menjana atau membuat vaksin tetapi kalau kita dah kenal pasti vaksin tersebut, mungkin kita boleh melihat kepada pembuatan vaksin tersebut di negara kita.

“Jadi, formula sudah ada dan (apabila) vaksin dikenal pasti kita boleh hasilkan pembuatan vaksin di negara kita,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai kesesuaian Malaysia sebagai lokasi untuk menjalankan ujian manusia terhadap vaksin COVID-19, Dr Noor Hisham berkata setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan perbincangan dan rundingan dengan beberapa negara pengeluar.

“Jadi, kalau kita dipilih untuk dijadikan tempat kajian seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaksanakan rawatan jadi empat kumpulan ubat contohnya, Malaysia telah dikenal pasti sebagai sebuah negara yang boleh menjalankan kajian tersebut.

“(Selain itu KKM sedang) melihat dan berbincang dengan negara yang boleh mengeluarkan vaksin, dan kita bersedia untuk menerima vaksin tersebut untuk dijalankan sebagai kajian. Jadi, kita boleh pantau sama ada vaksin ini berkesan ataupun tidak,” katanya.

BACA: MOSTI dalam usaha jalin pendekatan diplomasi sains untuk kaji vaksin COVID-19

Semalam, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) memaklumkan sedang menjalin kolaborasi bersama Kementerian Luar Negeri dan KKM untuk mengadakan pendekatan sains diplomasi bagi menyertai proses pembangunan vaksin COVID-19 di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Khairy Jamaluddin antaranya berkata, Malaysia disifatkan sebagai negara yang paling sesuai untuk menjalankan ujian human trial memandangkan kepelbagaian etnik di negara ini, selain terdapat tiga strain COVID-19 yang dikesan di Malaysia, setakat ini.