Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedang membangunkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang akan memanfaatkan lebih 20,000 penerima khususnya mereka yang terjejas ekoran COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelan yang mengandungi 29 program jangka pendek dan sederhana di bawah enam strategi yang akan dilaksanakan dalam tempoh bermula Mei 2020 sehingga Mei 2021.

"Selain itu, kita juga melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan usahawan mampu bertahan dalam menghadapi impak pandemik tersebut.

"Antara inisiatif yang diambil dan dilaksanakan MEDAC menerusi agensi-agensi di bawah kementerian adalah penyediaan pembiayaan kepada usahawan, penjadualan semula pinjaman dan penangguhan moratorium pinjaman," katanya katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas-Pasir Puteh) yang bertanyakan sama ada MEDAC mempunyai perancangan untuk memperkenalkan Program Pengekalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam membantu melindungi pendapatan usahawan yang terjejas akibat COVID-19.

Selain itu, Wan Junaidi memberitahu, inisiatif lain adalah melibatkan latihan serta bimbingan keusahawanan secara dalam talian dan pelaksanaan program berimpak tinggi.

Menurutnya lagi, kementeriannya dan agensi di bawah mereka seperti Tekun Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, UDA Holding, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited membantu usahawan di negara ini.