Pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia merupakan krisis kesihatan yang mengancam kelangsungan dan kesejahteraan hidup manusia.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan akan menjejaskan 2.4 juta pekerjaan atau 15.7 peratus daripada keseluruhan sektor tenaga kerja.

Kajian Khas Kesan COVID-19 Terhadap Individu dan Ekonomi yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 9 April 2020 lalu, pula mendapati hampir separuh daripada 168,182 responden mengakui kehilangan pekerjaan kesan wabak itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga meramalkan kenaikan kadar pengangguran kepada 4.0 peratus tahun ini, berbanding 3.3 peratus pada 2019.

Di sebalik situasi ekonomi yang mencabar ketika ini, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dijangka dapat menghidupkan semula harapan dan memberi kelegaan kepada banyak pihak.

Ia berikutan banyak perlindungan sosial diberi kepada pekerja termasuk dalam sektor ekonomi gig yang sebelum ini kelihatan samar, namun kini dilihat lebih terjamin menerusi geran sehingga RM50 juta bagi golongan terbabit.

Langkah kerajaan menyediakan kemudahan itu melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bukan hanya memberi manfaat secara langsung kepada pekerja, malah mampu merangsang dan mengembangkan lagi ekonomi tersebut.

Semua ini dilakukan untuk melindungi pekerjaan dan mewujudkan peluang baharu kerana ia merupakan perkara tunjang yang perlu ditekankan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Jangan lupa ikuti diskusi dan pembahasan secara mendalam bersama panel kami menerusi webinar AWANI - The New Normal Series membincangkan isu “COVID-19: Penugasan Semula Pekerjaan atau Penciptaan Pekerjaan Baharu” pada 17 Jun 2020.

Daftar sekarang di events.astroawani.com