Nasib lebih 50,000 kontraktor Bumiputera berdepan ketidaktentuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan banyak kerja penyelenggaraan tidak dapat diteruskan sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Datuk Azman Yusoff berkata, mereka terkesan disebabkan terpaksa menanggung kos buruh tinggi sementara pekerja pula dihadkan bertugas dan diberi cuti sepanjang tempoh PKP.

Sehubungan itu, beliau berharap Pakej Rangsangan Ekonomi yang akan diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat ini akan mempertimbangkan aspek lanjutan tempoh kontrak penyelenggaraan sedia ada bagi memastikan syarikat dapat terus beroperasi.

"Mana-mana kontrak penyelenggaraan sedia ada yang akan tamat dalam masa terdekat diharap dilanjutkan secara terus untuk satu tempoh yang munasabah tanpa perlu menaikkan harga kontrak.

"Ketika ini adalah tempoh tidak sesuai untuk kerajaan memanggil kerja-kerja tender kerana akan pastinya ada lawatan ke tapak projek yang membabitkan jumlah kehadiran yang ramai dan memberi risiko kepada penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Terdahulu ketika menyampaikan Perutusan Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di televisyen,
Muhyiddin memberitahu, beliau akan mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh Jumaat ini susulan impak penularan COVID-19.

Dalam pada itu, Azman menjelaskan, kontraktor pencucian, mekanikal elektrik, servis pembasmi serangga, bangunan civil dan landskap antara kumpulan akan terjejas jika kontrak yang akan tamat dalam masa terdekat tidak lagi disambung.

Justeru, Azman meminta pertimbangan kerajaan melaksanakan pemberian kerja secara lantikan terus bukan sahaja kepada kontraktor G1 dan G2, malah untuk kelas G3 yang ketika ini begitu terkesan disebabkan kurangnya tawaran kerja.

"Pemberian secara terus ini akan mengelakkan aktiviti kartel selain perlu mematuhi jadual kadar harga tender.

"Tumpuan kerja-kerja kontrak ini juga mesti membabitkan kontraktor kecil dari seluruh negeri dan pada masa sama tidak mengabaikan kontraktor skala besar dari G3 sehingga G7," katanya.

Katanya lagi, dengan harga berpatutan ditawarkan termasuk pembekal bahan binaan dan upah pekerja diharap mampu memberi peluang kepada kontraktor memperoleh keuntungan sekitar 10 sehingga 15 peratus berbanding cara sebut harga atau tender yang ada kalanya menyebabkan kerugian.

Ujarnya, keluaran tawaran kerja secara serentak berkemungkinan menyebabkan kekurangan pembekalan bahan binaan selain tindakan pembekal menaikan harga bahan binaan yang perlu dipantau kerajaan.

Beliau juga mengharapkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada kontraktor yang terlibat.

Azman dalam pada itu turut menyarankan kerajaan memberi kelonggaran kepada kontraktor seperti dalam syarat tender dan sebut harga sesuai dengan pakej rangsangan yang akan diumumkan.

"Dengan langkah ini, kerajaan juga dapat memantau syarikat supaya mematuhi syarat penubuhan asal konsesi yang berkonsepkan payung iaitu membantu syarikat kelas kecil menerusi tawaran kadar harga yang munasabah dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

"Di bawah konsep ini, konsesi mesti membantu kontraktor dan bukannya situasi di mana kontraktor kecil menjadi mangsa kerana membantu konsesi,” katanya.