Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: Pas rakam takziah kepada keluarga mangsa ketujuh

COVID-19: Pas rakam takziah kepada keluarga mangsa ketujuh
Takiyuddin memaklumkan Pas juga merakamkan takziah buat semua keluarga mangsa COVID-19 lain yang meninggal dunia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pimpinan parti dan ahli Pas merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Idris Atan, mangsa ketujuh yang tewas pada wabak COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Idris, 57 tahun, ahli Pas kawasan Batu, merupakan antara ahli terawal yang membuka cawangan parti itu di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves pada 1988.

"Pas mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas jasa dan keringat arwah terhadap Pas selama ini.

"Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Allahyarham Idris mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan merupakan kontak kepada kes positif COVID-19 dari kluster tabligh.

Mangsa yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac meninggal dunia pada jam 3.22 petang Sabtu.
Selain itu, Takiyuddin memaklumkan Pas juga merakamkan takziah buat semua keluarga mangsa COVID-19 lain yang meninggal dunia.

"Semoga semua pesakit yang masih dirawat segera sembuh dan kembali ke pangkuan keluarga tersayang," katanya lagi.

Sehingga Sabtu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sejumlah 153 kes baharu dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 1,183 kes.

Jumlah kes kematian akibat wabak COVID-19 sehingga jam 6.30 petang Sabtu adalah lapan orang.