MALAYSIA memiliki wilayah tanah yang luas terbentang dari Semenanjung Melayu ke Sabah dan Sarawak di Pulau Borneo. Kawasan perbatasan negara kebanyakannya adalah kawasan pedalaman berbukit dan diselimuti hutan tebal.

Wilayah maritim Malaysia pula merangkumi Selat Melaka sehingga ke Laut China Selatan serta hingga ke Laut Sulu.

Sejak Virus Wuhan merebak di negara baru-baru ini, sebanyak 92 nyawa telah terkorban dengan 1, 987 kes yang masih aktif dicatatkan sehingga 22 April 2020. Kes-kes jangkitan baru Covid-19 di Malaysia telah berkurang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diisytiharkan semenjak 18 Mac 2020 dan dijadualkan berakhir pada 28 April 2020.

Sepanjang tempoh PKP ini, Rakyat Malaysia tidak dibenarkan meninggalkan dan warga asing tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Sempadan negara dikawal ketat oleh pihak berkuasa bagi menghalang penularan wabak COVID-19. Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara juga diwajibkan untuk menjalani kuarantin di beberapa pusat kuarantin yang telah ditetapkan di seluruh negara.

Bagi menghalang penularan wabak COVID-19 ini daripada menjadi lebih teruk, PKP telah diperketatkan penguatkuasaannya di kawasan-kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi. Kerjasama yang sangat baik telah diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pihak berkuasa dan kerajaan untuk mengurangkan kadar jangkitan.

Rohingya

Oleh kerana negara Singapura kini terpaksa berdepan dengan kes-kes jangkitan yang melampau tinggi setiap hari, Kerajaan Malaysia disaran untuk mengambil teladan dari negara jiran ini dan perlu sentiasa bersiap sedia dan berhati-hati dalam membuat setiap keputusan.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah berkali-kali menyebut sewaktu sidang media hariannya bahawa pihak kerajaan perlu menutup pintu-pintu sempadan bagi menghentikan penularan wabak dari luar ke dalam negara.

Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan pengawasan bukan sahaja di pintu-pintu masuk utama tetapi juga di lorong-lorong tikus yang berlingkaran di perbatasan negara.

Kehadiran pendatang Rohingya ke perairan Malaysia di Langkawi secara haram adalah manifestasi bahawa usaha perlu dipertingkatkan, bukan sahaja untuk mengawal sempadan negara, tetapi juga bagi membendung wabak COVID-19.

Sungguh pun begitu, wujud suara-suara yang inginkan kerajaan untuk membuka pintu dan menerima masuk pendatang ini untuk dijaga di negara ini.

Walaupun Malaysia bukanlah negara anggota Konvensyen Pelarian 1951, Malaysia telah menjadi negara yang sangat pemurah dalam mempromosikan keamanan di peringkat antarabangsa.

Malaysia seringkali menerima pendatang Rohingya yang ditindas dan dinafikan kerakyatan mereka oleh kerajaan Myanmar selama bertahun-tahun.

Di saat dunia berpaling tadah, Malaysia telah mengambil tanggungjawab untuk memberikan perlindungan kepada pencari suaka Rohingya ini.

Walaubagaimanapun, keadaan telah berubah sekarang. Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Malaysia kini sedang berperang dengan tentera halimunan. Perniagaan dan perdagangan telah terhenti akibat PKP dan ekonomi telah terjejas teruk akibat wabak COVID-19 ini.

Dalam mendepani ketidaktentuan ini baik didalam negara mahupun diperingkat global, Malaysia perlu meletakkan keutamaannya di tempat yang betul dengan mengutamakan rakyatnya dahulu melebihi yang lain.

Kerajaan Malaysia setakat ini telah melakukan tugas yang baik dalam membantu warganya.

Rohingya

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menunjukkan hasil yang baik dengan menurunkan kadar jangkitan seterunya memastikan sistem kesihatan Malaysia tidak lumpuh.

Walau bagaimanapun, apakah akan terjadi sekiranya Malaysia membuka pintu dan membenarkan pencari suaka Rohingya untuk meminta perlindungan secara terus menerus?

Pendatang-pendatang Rohingya yang datang ke Malaysia di dalam bot-bot usang ini mungkin bukan sahaja mempunyai COVID-19, tetapi pelbagai jenis penyakit lain yang berbahaya dan mudah berjangkit. Ini boleh memberi kesan yang buruk kepada negara dan warganya.

Malaysia telahpun melakukan tanggungjawabnya dalam memberikan perlindungan kepada pencari suaka Rohingya yang sedia ada selama ini. Akan tetapi, situasi kini sudah berubah.

Kini tiba masanya kerajaan bertegas dan memberikan keutamaan kepada rakyat Malaysia dahulu dengan menutup seerat-eratnya sempadan negara dalam usaha memecahkan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyatnya terjamin.



* Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli dan Dr. Fareed Mohd Hassan adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.