RAMAI kenalan dan warganet yang bertanya kewajaran langkah pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengumumkan pembukaan semula sekolah bermula 15 Julai ini berbanding Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pembukaan semula Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Malahan ada yang turut mempertikaikan langkah tersebut kerana ianya dilihat seolah-olah segala macam Prosedur Operasi Standard (Standard Operating Procedure – SOP) dan perlaksanaannya mendahulukan kumpulan yang lebih muda, yang pada anggapan mereka lebih susah untuk mematuhinya.

Mana tidaknya, taman asuhan kanak-kanak (TASKA) telah mula beroperasi sejak 3 Jun lalu dan taman didikan kanak-kanak (TADIKA) telah mendapat kelulusan beroperasi semula sejak 1 Julai.

Sekolah menengah juga sudah dibuka pada tarikh yang sama dan bakal dibuka sepenuhnya menjelang 15 Julai nanti, termasuk sekolah rendah.
Sedangkan IPT masih sunyi dari segala perkhabaran.

Pada hemat saya, keputusan yang dilakukan oleh kerajaan setakat ini adalah yang terbaik dan ada kewajarannya dalam membendung penularan COVID-19.

Kenapa saya katakan demikian?

Ini adalah disebabkan beberapa perkara berikut :

1- Pergerakan untuk pembukaan taska dan tabika hanya melibatkan komuniti dari lokaliti yang sama.

2- Begitu juga dengan pembukaan sekolah rendah. Jika kawasan sekolah berkenaan tergolong dalam kelompok kawasan HIJAU, maka risiko penularan semula COVID-19 adalah sangat minima dalam kelompok tersebut.

3- Pergerakan dari lokaliti yang sama ini juga melibatkan sebilangan besar sekolah menengah.

4- Hanya sebilangan kecil sahaja sekolah menengah, terutamanya sekolah berasrama penuh (SBP) yang akan melibatkan pergerakan dari lokaliti yang berbeza.

5- Pembukaan semula IPT akan melibatkan banyak pergerakan dari lokaliti yang berbeza dengan jumlah pelajar yang tinggi iaitu hampir 1.5 juta pelajar dengan dianggarkan 150 ribu daripadanya adalah pelajar antarabangsa.

6- Ini termasuklah pergerakan rentas negeri, rentas lautan (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) serta rentas sempadan negara (bagi pelajar antarabangsa).

7- Hal ini turut akan melibatkan pergerakan pulang pelajar secara besar-besaran yang secara langsung akan melibatkan penggunaan pengangkutan awam secara menyeluruh, termasuklah sektor pengangkutan udara.

8- Pergerakan seperti ini akan mendedahkan mereka kepada ramai kontak seterusnya meningkatkan risiko penularan semula COVID-19, melainkan pihak kerajaan khususnya KPT sanggup mengeluarkan perbelanjaan bagi tujuan pengurusan perjalanan pulang semula pelajar ke IPT untuk semua pelajar terlibat sepertimana perjalanan pulang ke kampung tempohari.

9- Ianya akan diburukkan lagi dengan ketidakbolehupayaan IPT berkenaan untuk menampung jumlah pelajar yang tinggi pada satu-satu masa dimana ada sesetengah universiti awam (UA) mempunyai enrolmen pelajar sehingga 30 ribu orang.

10- Bilangan pelajar yang tinggi dalam sesebuah kampus dengan kemudahan prasarana yang terhad, terutamanya dewan kuliah, bilik tutorial, makmal, asrama dan dewan makan akan menyukarkan perlaksanaan dan pematuhan SOP yang telah disediakan, selain turut meningkatkan risiko penularan semula COVID-19.

11- Pihak KPT pada 27 Mei lalu telah mengumumkan bahawa pengajian di universiti awam akan diadakan melalui atas talian sehingga 31 Disember 2020 kecuali bagi pelajar yang berkeperluan hadir secara fizikal ke makmal, bengkel, studio reka bentuk atau memerlukan peralatan khusus bagi menjalankan penyelidikan untuk melakukannya bermula 1 Julai yang lalu.

12- Tiada keperluan pun untuk pihak KPT untuk menyegerakan pembukaan semula IPT pada waktu ini kerana kebanyakan IPT sedang menjalankan peperiksaan akhir semester terhadap pelajar masing-masing yang seterusnya bakal bercuti semester sehingga awal Oktober.

13- Jika ada keterdesakan untuk membuka semula IPT bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, sewajarnya ianya dilakukan secara berperingkat bermula selepas cuti semester tamat pada Oktober.

14- Sebarang keputusan untuk membenarkan semula pembukaan semula IPT haruslah diumumkan sekurang-kurangnya 1 bulan lebih awal bagi membolehkan segala urusan berkaitan tempat tinggal dan pengangkutan pulang ke IPT dapat dilakukan dengan teratur.

Perkara-perkara yang disenaraikan di atas jelas menunjukkan bahawa, langkah untuk membuka semula IPT secara menyeluruh harus diperhalusi oleh pihak berkaitan khususnya KPT, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan sebaik-baiknya.

Ia bukan hanya sekadar isu menjawab persoalan, "takkan pelajar IPT yang lebih dewasa dari budak tadika tidak boleh nak patuh SOP yang ditetapkan?", tetapi isunya adalah lebih serius dari itu.

Jika ianya tidak dilakukan dengan berhati-hati, terutamanya dalam keadaan orang ramai telah mula alpa dan memandang mudah pada pematuhan SOP yang telah ditetapkan, maka natijahnya kelak boleh memungkinkan gelombang ke-3 COVID-19 mampu melanda negara.

Bersama-sama kita memainkan peranan mencegah penularan semula COVID-19 dan menghalang dari wujudnya kluster baru yang mungkin bakal dikenali sebagai kluster ‘KEMBALI KE IPT’.


* Ts Mohd Soffian Osman, Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.