Meskipun United Kingdom (UK) terletak dalam kelompok 10 negara tertinggi dengan jumlah kes positif COVID-19, penduduk negara itu masih diberi kelonggaran untuk melakukan aktiviti senaman sekali sehari di taman berhampiran kawasan tempat tinggal mereka.

Namun begitu, penyampai dan pengacara warga Malaysia, yang berpangkalan di London, Sivagami Vinayagan berkata, warga negara itu masih perlu mematuhi penjarakan sosial dengan berada sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

Dari pemerhatiannya yang bertugas di IBC Tamil (International Broadcasting Corporation for Tamil), sejak beberapa hari lalu, berikutan cuaca di London semakin baik, orang ramai dilihat cenderung keluar dari rumah untuk 'berjemur' dan mengingkari arahan kerajaan.

"Saya khuatir perkara itu akan memburukkan lagi situasi semasa, saya difahamkan besar kemungkinan kerajaan akan menarik balik kelonggaran yang diberikan itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Isnin.






Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sudah 16 tahun menetap di London itu berkata, perkhidmatan dalam kategori tidak kritikal ditutup sejak dua minggu lalu dan tiada perhimpunan lebih daripada dua orang bagi mengelakkan penularan.

Namun kata Sivagami, orang ramai masih dibenarkan keluar untuk membeli keperluan asas seperti makanan dan bekerja jika ada keperluan.

Pada 23 Mac lalu, UK mengumumkan perintah berkurung selama 3 minggu, sebagai usaha memperlahankan penularan jangkitan COVID-19.

Keputusan itu adalah seiring dengan amaran WHO mengenai ancaman wabak tersebut di seluruh dunia.

Statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh WHO mendapati UK merekodkan 47,806 kes dengan 4,934 kematian termasuk menjangkiti pewaris takhta Britain, Putera Charles dan Perdana Menteri, Boris Johnson.