Penguatkuasaan larangan perjalanan antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak pada Ahad susulan perkembangan terkini COVID-19 di Kuching.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat khas itu bagi membincangkan tindakan lanjut ekoran peningkatan kes positif di Kuching dalam tempoh 14 hari.

"Hari ini, kita mempunyai lapan kes positif. Semalam sembilan kes dan dengan kes terbaru itu, Kuching kini mempunyai 39 kes positif.

"Dengan hanya satu kes sahaja lagi, kawasan itu akan berubah menjadi merah daripada zon kuning," kata Uggah dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Jelas beliau, perubahan zon kuning kepada merah menunjukkan bahawa kes itu serius dengan peningkatan mendadak.

Katanya, mesyuarat itu juga akan mencari kaedah untuk menentukan langkah-langkah yang perlu apabila bertukar menjadi zon merah.

"Sebarang keputusan yang ditentukan akan dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan tindakan diambil dalam kadar segera," katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang keputusan yang dibuat kerajaan negeri akan dimaklumkan kepada Kerajaan Pusat.

"Keputusan (mesyuarat) akan dimaklumkan kepada pihak kerajaan (Persekutuan), (hasil mesyuarat) kita akan wartakan dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

"Kerajaan Sarawak mungkin akan perkenalkan SOP yang lebih ketat, Insya-Allah akan umum Isnin nanti,” ujarnya.