Ahli Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan pada Khamis sebulat suara, memutuskan untuk membatalkan Perayaan Warisan George Town dan George Town Festival 2020 yang dijadualkan berlangsung Julai ini, berikutan penularan COVID-19.

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan pesta itu adalah keputusan yang sukar untuk dibuat, berikutan kedua-dua acara itu merupakan acara tahunan meraikan ulang tahun ke-12 bandar George Town sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

“Setiap tahun, acara ini melibatkan ribuan artis tempatan dan antarabangsa, ahli kru, kontraktor tempatan dan pasukan projek. Acara-acara ini juga dikunjungi oleh beratus ribu keluarga dan individu yang ingin menerokai George Town untuk menghargai kekayaan dan keindahan seni, budaya dan warisan.

“Dalam hal ini, pihak penganjur mengalami kesukaran untuk mengesan sejarah perjalanan kesemua peserta dan pengunjung dan interaksi yang dekat akan meningkatkan risiko penyebaran wabak.

“Oleh itu, pihak kami terpaksa membatalkan acara-acara ini untuk memastikan kesihatan dan keselamatan semua orang yang terlibat,” katanya.

Difahamkan, George Town World Heritage Incorporated dan penganjur bersama, TLM Event Sdn Bhd akan menghubungi semua pihak yang terlibat untuk berunding semula terma-terma kolaborasi sebelum ini.

Yeoh berkata, semua program yang telah dirancang akan dibawa untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat bagi menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini menyeru agar semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku.

“Mencegah lebih baik daripada mengubati, kami perlu mengurangkan perhimpunan dan program-program yang melibatkan orang ramai kerana ini adalah salah satu cara yang kritikal untuk memerangi penyakit tersebut,” katanya.