Kebanyakan bidang perniagaan dikatakan tidak akan terjejas malah pengeluar masih boleh menghasilkan produk masing-masing jika sistem penghantaran berjalan dengan sempurna.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan itu sekali gus menjamin tiada halangan untuk peniaga terus menjalankan perniagaan walaupun dari rumah.

"Sistem penyampaian seperti Grab dan lain-lain mesti digalakkan dan orang mesti dilatih dengan baik termasuk memastikan bahawa mereka sendiri tidak terjejas.

"Dalam sistem penyampaian yang baik, apa yang penting adalah memasarkan dengan lebih banyak, jika anda tidak mempunyai sistem penghantaran yang baik tetapi mungkin menghasilkan sesuatu yang sangat baik, anda tidak boleh menjualnya kepada pelanggan anda.

"Jadi kuncinya adalah sistem penghantaran yang baik. Sebaik sahaja anda mempunyai itu, semua orang akan dapat memasarkan apa-apa kemahiran seperti memasak makanan atau memperbaiki sesuatu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang video di lamab Facebook MyPerintis pada Isnin.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, kemungkinan peniaga akan menghadapai senario penurunan 50 sehingga 80 peratus dalam jualan selama tiga sehingga enam bulan akibat COVID-19.

Ia termasuk kemungkinan pembekal tidak dapat membekalkan item utama selama enam minggu sekali gus memberi kesan kepada aliran tunai perniagaan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengingatkan orang ramai supaya menerima realiti penurunan pendapatan yang dihadapi banyak pihak hari ini.

Sehubungan itu, mereka yang kehilangan pendapatan harus berusaha mencari pekerjaan baharu selain mengubah gaya hidup supaya bersesuaian dengan pendapatan semasa.

"Jika anda tidak bekerja di sebuah hotel, tetapi anda seorang tukang masak dan boleh memasak di sebuah rumah, anda boleh membuat perniagaan masakan. Jika anda merupakan pencuci, saya kira ramai orang memerlukan khidmat pencucian sekarang dan semua itu merupakan pekerjaan baharu," katanya.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) sebelum ini meramalkan, hampir 100,000 rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan jika COVID-19 berterusan sehingga penghujung tahun ini.

Jumlah yang diberhentikan impak ekonomi kesan daripada virus itu juga dilaporkan boleh meningkat dua kali ganda berbanding 40,000 orang yang kehilangan pekerjaan tahun lalu.