Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: Pesawat khas misi kedua bawa rakyat Malaysia dari Wuhan selamat mendarat

COVID-19: Pesawat khas misi kedua bawa rakyat Malaysia dari Wuhan selamat mendarat
Pesawat khas bawa pulang rakyat Malaysia dan keluarga dari Wuhan, China selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 6.50 pagi ini. -Astro AWANI
SEPANG: Pesawat khas misi kedua yang membawa pulang rakyat Malaysia dan keluarga mereka dari Wuhan, China selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 6.50 pagi ini.

Pesawat AirAsia AK8265 yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan pada jam 1.45 pagi tadi membawa 66 penumpang yang bermastautin di Wuhan dan kawasan sekitar.
Seramai 12 kru penerbangan, sembilan wakil agensi kerajaan dari Malaysia dan dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) susulan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri, daripada 75 rakyat Malaysia yang pada asalnya dijadualkan pulang ke tanah air, sembilan tidak dapat berbuat demikian.
“Enam orang yang hadir di lapangan terbang tidak dapat menaiki pesawat tersebut disebabkan isu kesihatan selepas melalui proses saringan kesihatan di lapangan terbang.

“Seorang menarik diri atas faktor kesihatan tanpa hadir ke lapangan terbang manakala seorang lagi tidak dapat turut serta disebabkan komitmen kerja.

“Seorang lagi rakyat Malaysia yang tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik. Beliau mengalami kesukaran untuk mendapatkan kenderaan untuk ke lapangan terbang,” kata kenyataan tersebut.

Misi HADR pertama kali digerakkan kerajaan Malaysia pada 4 Feb lepas dan berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

Semua 89 penumpang akan melalui tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara ataupun Air Disaster Unit (ADU).

Mereka yang dikesan mempunyai simptom jangkitan akan dibawa terus ke Hospital Sungai Buloh.

Mereka yang melepasi saringan akan dibawa terus menaiki bas ke pusat pemantauan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk proses pemantauan selama 14 hari.