Penganut Hindu yang menghadiri perayaan Maasi Magam Theppa Thiruvizha atau Festival Tanglung Terapung di Teluk Bahang, dekat sini, baru-baru ini dinasihatkan menjalani saringan COVID-19 jika mempunyai simptom wabak itu selepas tempoh inkubasi selama 14 hari.

"Kalau ikutkan hari ini merupakan tamat tempoh inkubasi selama 14 hari terhadap mereka yang menghadiri perayaan itu, jadi jika ada dalam kalangan mereka yang mempunyai simptom COVID-19, saya nasihatkan untuk terus hadir di mana-mana hospital, bagi membuat ujian saringan.

"Setakat ini kes-kes COVID-19 di negeri ini semuanya daripada perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, tiada lagi kes daripada sambutan Maasi Magam itu," kata Exco Pertanian, Industri Berteraskan Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin ketika dihubungi Bernama, di sini, pada Ahad.

Pada 8 Mac lalu, kira-kira 30,000 penganut Hindu dilaporkan menghadiri perarakan tahunan membawa patung Dewi Sri Singamuga Kaliamman ke laut, dan mereka yang menyertai upacara itu kemudian akan melepaskan lampu pelita berwarna-warni ke laut, sebagai pelengkap acara ritual tahunan itu.

Menurut kepercayaan Hindu, Maasi adalah bulan mengikut kalender Tamil, manakala Magam pula adalah salah satu bintang daripada 27 bintang, dalam sistem astrologi Hindu.

Perayaan itu disambut antara bulan Februari dan Mac untuk mendapat restu Dewi, yang dipercayai menjaga kawasan laut.

Sementara itu, Norlela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, turut mencadangkan supaya laluan khas di hospital atau klinik disediakan kepada mereka yang mahu menjalani saringan COVID-19, terutama untuk jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.

Cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat Task Force COVID-19, peringkat Pulau Pinang yang berlangsung esok, supaya dapat membendung penularan virus itu dalam kalangan orang ramai di hospital atau klinik, di negeri itu.

"Sebenarnya saya menerima beberapa aduan daripada orang ramai dan juga petugas kesihatan, berhubung mereka yang hadir untuk membuat saringan kesihatan di hospital serta klinik, kerana sebaik mengetahui individu itu positif petugas perlu mencari kontak dan laluan yang dilalui pesakit tersebut.

"Jadi saya rasa kita perlu mewujudkan satu laluan atau kaunter khas, kepada mereka yang hadir menjalani ujian tersebut, kerana ia lebih pratikal serta orang ramai juga tidak perlu bimbang penularan COVID-19, ketika mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan," katanya.

-- BERNAMA