Kumpulan petugas perubatan dari China dijangka tiba di Malaysia dalam tempoh terdekat dalam usaha membantu Malaysia menangani pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kehadiran pasukan tersebut bukan untuk mengambil alih perkhidmatan kesihatan negara, sebaliknya untuk berkongsi pengalaman.

“Kehadiran mereka adalah untuk melihat prestasi hospital di negara ini dan berkongsi pengalaman mereka menguruskan COVID-19.

“Ia termasuk membabitkan kesihatan awam di hospital dan ujian (saringan COVID-19). Jadi, mereka bukan berada di sini untuk mengendalikan perkhidmatan kita (tetapi) mereka datang untuk melawat dan berkongsi pengalaman.

“Kita telah melakukan perbincangan dengan mereka, bagaimana untuk meningkatkan perkhidmatan kita,” demikian katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.


Beliau turut memaklumkan pihak kementerian dalam usaha menjalankan kerjasama dengan China, selain mencari peluang melakukan kajian berkaitan wabak COVID-19.

Sementara itu, dalam media sama Dr Noor Hisham berkata penghuni di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu berasa terancam sekiranya diarah melakukan ujian saringan.

“Setakat ini, apabila kita laksana PKPD di tiga kawasan (Kluang, Simpang Renggam dan Sungai Lui, Hulu Langat), kita tidak ada masalah berkaitan tingkah laku (sikap mereka untuk berkerjasama).

“Kita ada di sana untuk melindungi mereka. Dalam amalan kita (perubatan), ia adalah perkara biasa. Kita selalu maklumkan kepada mereka apa yang dilakukan adalah untuk melindungi mereka,” ujarnya.