Walaupun larangan solat berjemaah di surau dan masjid sudah dikuatkuasakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19, beberapa penduduk Kampung Bahagia, dekat sini, masih mengambil mudah mengenainya.

Mereka didakwa berdegil dan tetap mahu mengadakan solat jemaah di masjid walaupun sudah ditegur penduduk lain yang memahami tujuan larangan itu dikuatkuasakan demi kebaikan dan keselamatan masyarakat.

Susulan itu, sepasukan polis , pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Perbandaran Sandakan dan pegawai Pejabat Kesihatan Sandakan, melakukan tinjauan ke kampung itu, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima laporan beberapa jemaah di kampung itu sentiasa mengadakan solat berjemaah walaupun arahan sudah dikeluarkan.

Menurutnya, susulan itu pihaknya menemui penduduk terbabit dan memberikan penerangan serta nasihat.

“Setakat ini mereka berpuas hati dan masjid itu sudah ditutup,” katanya dalam satu sidang media, selepas mengadakan lawatan ke kampung itu, pada Khamis.

Sementara itu, Pegawai JHEAINS Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, setakat ini tiga buah masjid sudah disanitasi di daerah ini.

“Kita berharap pihak Jabatan Kesihatan dapat menjalankan sanitasi ke masjid ini dan kita berharap penduduk di sini dapat mematuhi arahan agar tidak solat berjemaah di masjid,” katanya.