Beberapa premis perniagaan di lima daerah di negeri ini perlu menutup operasi mereka seawal jam 7 malam bagi mengekang penularan wabak COVID-19 bermula Sabtu ini.

Difahamkan antara premis yang perlu menutup operasi bermula jam 7 malam hingga tujuh pagi itu ialah kedai serbaneka 24 jam, kedai makan dan stesen minyak.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, daerah yang terlibat adalah Kuantan, Pekan, Jerantut, Temerloh dan Bentong berikutan jumlah keseluruhan kes terbaru dicatat pada hari ini ialah 32 kes.

"Bagaimanpun daerah Cameron Highlands sudah melaksanakan arahan penutupan premis bermula jam 7 malam sejak semalam," katanya dalam satu sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diharap dapat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan kekal di rumah masing-masing bagi memastikan tiada peningkatan kes yang ketara dalam masa terdekat.

Sementara itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan, berikutan penularan wabak COVID-19.

Katanya, peruntukan menerusi Kerajaan Negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu akan diperincikan kemudian.

“Kerajaan negeri juga akan mempercepat Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri yang membabitkan 2,895 penerima.

“Ini bermakna Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepat pembayarannya pada 27 Mac 2020 ini,” katanya.