Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: Rakyat Malaysia disaran tangguh perjalanan ke wilayah diisytihar wabak

COVID-19: Rakyat Malaysia disaran tangguh perjalanan ke wilayah diisytihar wabak
Dr Noor Hisham berkata sehingga 8 pagi Khamis, sejumlah 81,398 kes COVID-19 yang melibatkan 2,770 kematian dilaporkan di seluruh dunia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah atau bandar di Korea Selatan, Jepun, Itali, Iran selain China yang sebelum ini telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga 8 pagi Khamis, sejumlah 81,398 kes COVID-19 yang melibatkan 2,770 kematian dilaporkan di seluruh dunia.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, empat peratus atau 3,200 kes dilaporkan di luar China yang melibatkan 52 kematian.

"Daripada pemantauan yang dijalankan didapati Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran menunjukkan ada peningkatan kes yang ketara dalam tempoh seminggu lalu.
"Berdasarkan situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan perkembangan terkini di peringkat global, KKM ingin menyarankan kepada rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan khususnya pengembara yang berada di negara-negara itu dan selepas pulang ke Malaysia untuk mengamalkan langkah pencegahan kesihatan diri seperti kerap mencuci tangan, etika batuk yang baik selain segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti deman, batuk dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan.

Selain itu semasa dalam tempoh lawatan, mereka juga diingatkan untuk mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta elakkan memakan atau minum sebarang produk haiwan yang mentah dan elakkan ke ladang haiwan.

-- BERNAMA