Rakyat Sabah diingat mengawal emosi dan tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran berita palsu berkaitan wabak COVID-19.

Langkah itu kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mampu mengelak dari sebarang situasi panik hingga mengganggu-gugat keamaan negeri.

"Saya ingin mengingatkan penduduk setempat agar jangan mudah merasa panik apabila menerima berita-berita tersebut yang biasanya ditularkan di aplikasi Whatsapp dan Facebook.

"Sekiranya kita ingin mendapatkan kesahihan sesuatu perkara, penduduk kampung boleh terus merujuk kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk perkembangan dan status terkini Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan Bantuan Bekalan Makanan kepada MPPK di Mukim Ulu dan Mukim Tengah Kiulu, di sini, pada Selasa.

Menurut Madius, orang ramai perlu bertenang dan mengamalkan langkah pencegahan yang tinggi dalam menghadapi situasi sekarang.

Beliau turut menyeru agar semua MPKK sentiasa menghubungi pegawai atasan masing-masing bagi mendapatkan berita yang sahih berkaitan Covid-19.

"Maklumat juga boleh diperoleh melalui Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Daerah yang sentiasa memantau perkembangan terkini kesan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Oleh itu selain melakukan langkah pencegahan marilah kita juga bersama-sama membendung penyebaran berita palsu Covid 19," katanya.