Kerajaan negeri Sabah berjaya mengumpulkan sejumlah RM2 juta untuk disumbangkan kepada China yang kini berdepan cabaran mengendalikan situasi berkaitan wabak koronavirus COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sumbangan ikhlas yang diperolehi menerusi Tabung Wuhan China itu merupakan tanda prihatin negeri ini kepada republik berkenaan.

"Kita sedar dan tahu, bahawa dalam keadaan saat ini, dunia sekarang berhadapan dengan koronavirus, bukan sahaja di China, bahkan beberapa negara di dunia.

"Jadi, kita di antara tempat yang selalu dikunjungi, buat pelaburan di Malaysia.

"Menyedari hakikat yang jiran kita, rakan kita, berhadapan masalah seumpama ini, kita perlu bangun dan bangkit, untuk bukan hanya memastikan sokongan dan doa kepada mereka, tetapi juga supaya masalah malapetaka koronavirus ini dapat dipulihkan dan kita dapat memperolehi satu vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis 'We Love We Care' di sini, malam tadi.

11 Feb lalu, Mohd Shafie mengumumkan kerajaan negeri bersetuju mewujudkan tabung berkenaan dengan menyasarkan RM1 juta, untuk disalurkan kepada China.

Mohd Shafie ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Tabung 'We Care, We Love' di Kota Kinabalu malam tadi. - Astro AWANI

Dalam ucapannya malam tadi, beliau berkata, inisiatif sumbangan terbabit adalah dari pihak kerajaan dan swasta, melibatkan badan bukan kerajaan Tionghua.

Beliau turut memuji pihak berkaitan yang berjaya mengumpul wang sumbangan itu dalam tempoh singkat, sebagai tanda semangat perpaduan antara semua pihak dalam menghadapi cabaran COVID-19 di China.

BACA: 2.4 tan bantuan perubatan dihantar ke China melalui Ops Harapan

BACA: Tun Mahathir, Presiden China bincang mengenai COVID-19 di telefon

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, beliau percaya jangkitan COVID-19 hanya bersifat sementara dan keadaan akan pulih sepenuhnya nanti.

"Apabila kerajaan negeri mengumumkan sekatan terhadap kemasukan pelancong China pada 29 Jan lalu, bagi kita ia satu keputusan yang amat sukar, kerana kita mempunyai hubungan baik dengan China, terutama dalam sektor pelancongan.

"Dengan sekatan itu saya lihat banyak masalah yang dihadapi oleh para pengusaha pelancongan, kerana ketiadaan pelancong, khususnya dari China.

"Saya sedar akan masalah itu namun apa yang penting adalah keselamatan dan kesihatan rakyat dan bukannya duit,” katanya.

VIDEO: Koronavirus: Bantuan akan sampai melalui jalan darat daripada Beijing, China