Jumlah kes positif COVID-19 sejak akhir-akhir ini jelas mengalami penurunan ketara, malah sejak 29 Jun sehingga semalam, kes direkodkan bertahan dalam lingkungan satu angka sahaja.

Pada hari ke-22 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu 1 Julai lepas, negara turut mencatat sejarah apabila tiada kes jangkitan tempatan, sama ada dalam kalangan rakyat Malaysia mahupun bukan warganegara.

Tarikh 1 Julai itu juga merupakan buat pertama kalinya Malaysia mencatat kes harian positif COVID-19 terendah dengan hanya satu kes (kes import), sekali gus menarik perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melahirkan rasa bangganya terhadap seluruh rakyat atas kerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Trend semasa COVID-19 ini bagaimanapun tidak menjadikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah alpa malah terus menegaskan bahawa kunci kepada pencapaian ini adalah pematuhan kepada SOP, tidak kira siapa mahupun di mana berada.

Lantaran itu, KKM mengambil berat terhadap pematuhan SOP sepanjang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Chini yang mencatat sejarah hari ini kerana berlangsung dalam kebiasaan baharu ekoran wabak COVID-19.

Seramai 140 petugas kesihatan yang berpengalaman akan ditempatkan di pusat mengundi bagi memastikan pematuhan kepada SOP dilaksanakan, selain pemantauan rapi pengundi yang menunjukkan gejala berkaitan COVID-19.

Bukan itu sahaja, Dr Noor Hisham dalam sidang media semalam memaklumkan wakil rakyat, kakitangan Parlimen dan petugas media yang bergejala perlu membuat ujian calitan atau swab COVID-19 bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 13 Julai ini.

"Parlimen juga akan patuh SOP yang ditetapkan dan SOP yang ditetapkan tidak termasuk swab tetapi saringan suhu, pemakaian pelitup separuh muka, cuci tangan akan dipastikan dipatuhi," kata beliau.

Begitu juga dengan pembukaan semua sekolah, semuanya perlu bersandarkan kepada SOP yang telah ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Ingat kata-kata perdana menteri, jangan rasa terlalu selesa sehingga alpa dan lalai dalam usaha mengawal jangkitan pandemik ini, terus berwaspada, ambil langkah pencegahan dan patuhilah SOP yang ditetapkan pada setiap masa walau di mana berada.

-- BERNAMA